Pengenalan

1. Khairat berasal daripada perkataan Bahasa Arab yang memberi maksud kebajikan di mana ia turut merangkumi derma, sedekah dan sebagainya. Sedekah atau derma ialah sumbangan ikhlas daripada seseorang untuk diberikan kepada seseorang yang lain. Menurut Kamus Dewan, derma didefinisikan sebagai bantuan yang berupa wang (kepada perkumpulan dan lain-lain), pemberian yang ikhlas dan sedekah (kepada orang miskin dan lain-lain). Sedekah pula bermaksud pemberian kepada fakir miskin dan lain-lain (dengan ikhlas). Manakala khairat diertikan sebagai kebajikan, derma atau sedekah..

2. Penggunaan istilah pungutan khairat ini telah diguna pakai sejak sekian lama di Malaysia, contohnya dalam Undang-Undang Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 1952 dan Undang-Undang Pentadbiran Ugama Islam (Negeri Perak) 1965

3. Namun begitu, penggunaan istilah pungutan khairat ini tidak meliputi khairat kematian yang diwujudkan di masjid-masjid kariah, tetapi boleh digunakan sekiranya dana tabung khairat kematian diwujudkan secara pungutan derma. Khairat kematian pada kebiasaannya ialah wang yang dikumpul daripada pencarum yang tinggal di sesuatu kawasan (ahli dan anak kariah) pada kadar tertentu dan diberikan kepada waris seseorang yang meninggal dunia apabila berlaku kematian

4. Di negara ini, amalan berkhairat iaitu berbuat kebajikan dengan bersedekah atau berderma terutamanya kepada golongan fakir miskin dan juga mereka yang memerlukan sudah menjadi amalan kebiasaan dalam masyarakat, lebih-lebih lagi dalam kalangan masyarakat Islam. Selain daripada dapat bantu-membantu sesama manusia sebagaimana yang dianjurkan oleh Islam, melalui sedekah juga diharapkan akan mendatangkan lebih barakah dalam harta seseorang Muslim itu serta sebagai bukti rasa syukur kepada Allah SWT di atas apa yang telah dikurniakan. Firman Allah SWT yang bermaksud:

"Dan ingatlah tatkala Tuhanmu memberitahu: Sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku tambahi nikmat-Ku kepadamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azab-Ku amatlah keras."

(Surah Ibrahim, ayat 7)

Kategori / Golongan

1. Secara umumnya, golongan yang meminta sedekah boleh dibahagikan kepada dua kategori yang utama. Pertamanya, individu iaitu golongan fakir miskin yang meminta sedekah untuk menampung keperluan hidup diri sendiri dan keluarga sehari-hari. Mereka ini biasanya boleh dijumpai di lokasi-lokasi yang sesak dengan pengunjung seperti di pusat-pusat bandar, pekan-pekan, pusat membeli-belah, di hadapan bank-bank, mesin-mesin juruwang automatik (ATM), stesen-stesen minyak, pasar-pasar malam, restoran-restoran, hentian-hentian bas dan sebagainya. Pemantauan dan penguatkuasaan bagi golongan yang pertama ini biasanya dijalankan oleh pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

2. Golongan yang kedua pula ialah mereka yang meminta sedekah bagi pihak sesebuah institusi khususnya yang berkaitan dengan agama Islam, iaitu untuk membantu menambah dana kewangan bagi menampung pembinaan bangunan atau institusi seperti masjid, surau, sekolah, rumah anak yatim dan sebagainya. Aktiviti kutipan sedekah oleh golongan yang kedua ini perlu mendapat surat kebenaran/sokongan daripada pihak yang berautoriti iaitu Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) di negeri masing-masing.

Peruntukan Undang-Undang

1. Peruntukan undang-undang berkenaan kebenaran membuat pungutan khairat dan peruntukan berkenaan hukuman menjalankan pungutan khairat tanpa kebenaran telah diperuntukkan di dalam Akta / Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri-negeri di Malaysia selain negeri Sarawak. Sebagai contoh, Seksyen 84 (1), Akta Pentadbiran Undang-undang Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1993 menyatakan bahawa:

"Majlis boleh memungut, atau memberikan surat kebenaran dengan terma-terma yang difikirkannya patut kepada mana-mana orang atau kumpulan orang, membenarkan orang atau kumpulan orang itu memungut wang atau sumbangan-sumbangan lain bagi apa-apa maksud khairat bagi menyokong dan memajukan agama Islam atau bagi faedah orang-orang Islam mengikut Hukum Syarak"

2. Enakmen negeri-negeri lain (selain Sarawak) juga memperuntukkan peruntukan yang sama di mana klausa peruntukan di antara enakmen negeri-negeri ini dilihat hampir sama dan dengan jelas menyatakan kuasa MAIN dalam memberikan kebenaran kepada mana-mana umat Islam untuk menjalankan pungutan bagi maksud memajukan agama Islam.

Modus Operandi

1. Modus operandi kutipan sedekah oleh golongan yang kedua (bagi pihak institusi) ini adalah pelbagai. Selain daripada meminta sedekah di kawasan-kawasan awam seperti juga golongan pertama, mereka juga turut mengadakan kutipan dari rumah ke rumah dan juga di pejabat-pejabat. Biasanya, mereka menggunakan individu bagi mewakili sesebuah institusi untuk bertemu dengan orang ramai dan kemudian mendapatkan sedekah daripada orang ramai yang berada di situ. Tabung-tabung kutipan sedekah juga ada yang ditinggalkan di lokasi-lokasi strategik yang selamat seperti masjid, surau dan sebagainya.

2. Masyarakat Malaysia yang terkenal dengan sikap pemurahnya kebanyakannya tidak mengambil peduli akan kesahihan individu yang menjalankan kutipan sedekah, sama ada benar-benar mewakili sesebuah institusi yang dinyatakan ataupun melakukan penipuan. Masyarakat dengan mudah sahaja menghulurkan derma tanpa berfikir panjang kerana menaruh perasaan simpati di samping mengharapkan ganjaran pahala yang besar daripada Allah SWT. Para pengutip sedekah pula secara terang-terangan menjalankan aktiviti mereka seolah-olah tiada undang-undang yang menghadkan pergerakan mereka dan mereka bebas menjalankan kutipan tanpa sebarang sekatan.

3. Selain itu, golongan kanak-kanak turut dieksploitasi untuk membuat pungutan derma di stesen-stesen minyak dan di restoran-restoran. Kanak-kanak ini ada yang digunakan khusus menjalankan kutipan derma dan ada juga yang digunakan untuk menjual produk-produk seperti cakera padat syarahan agama, kismis, buku dan sebagainya. Wang hasil jualan yang disumbangkan dikatakan akan digunakan bagi pembangunan sekolah / institusi mereka.